Perutusan Khas

Sempena Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan (MAPT) Ke-95, 26 September 2026.

Hj Azhar Bin Mustapha D.P.T., Pengerusi
Hj Azhar Bin Mustapha (D.P.T)
Pengerusi
Koperasi Telekom Malaysia Berhad

"Kita tidak boleh mengubah apa yang telah berlaku, tetapi kita boleh menentukan apa yang akan berlaku selepas ini."

Perutusan Pengerusi Sempena MAPT Ke-95

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera kepada semua Anggota dan Perwakilan yang dihormati.

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya, Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan (MAPT) Ke-95 Koperasi Telekom Malaysia Berhad (KOTA MAS) telah berjaya berlangsung pada 26 September 2026.

Tahun 2025 merupakan tahun yang mencabar dan menuntut KOTA MAS untuk terus memperkukuhkan kedudukan kewangan, memperkemas tadbir urus serta memastikan kelangsungan perniagaan Koperasi.

Sebahagian pelaburan terdahulu KOTA MAS bagi tempoh 2012 hingga 2019 didapati tidak memberikan pulangan seperti yang diharapkan. Sehubungan itu, Lembaga Pengurusan telah mengambil keputusan dan langkah sewajarnya untuk memperkemas kedudukan kewangan Koperasi dengan membuat pelarasan perakaunan melibatkan (impairment) berjumlah RM30.27 juta. Langkah ini diambil demi memastikan kedudukan kewangan KOTA MAS lebih telus, tepat dan kukuh untuk kepentingan Koperasi serta anggota pada masa hadapan.

Dengan mengambil kira kedudukan kewangan Koperasi bagi tahun 2025, pengagihan dividen kepada anggota tidak dapat dilaksanakan pada tahun ini. Keputusan ini turut mengambil kira keperluan untuk mematuhi garis panduan (GP) yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) iaitu GP2 dan GP23.

Walau bagaimanapun, Lembaga Pengurusan tetap mengambil kira kebajikan anggota. Pemberian saguhati sebagai pengganti dividen bagi Tahun Kewangan 2025 telah diluluskan sebulat suara dalam Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Ke-95. Saguhati sehingga maksimum RM500 seorang, berdasarkan jumlah yuran dan syer anggota, boleh diperoleh melalui permohonan pengeluaran di Portal Anggota Kota Mas.

Lembaga Pengurusan akan terus memberi tumpuan kepada pengukuhan perniagaan, peningkatan kecekapan operasi dan pengurusan kewangan yang lebih berhemah bagi memastikan KOTA MAS terus berkembang dan berada pada landasan yang lebih kukuh serta mampan.

Kita tidak boleh mengubah apa yang telah berlaku, tetapi kita boleh menentukan apa yang akan berlaku selepas ini.

Marilah kita bersama-sama membina KOTA MAS yang lebih kukuh, cekap, berdaya saing dan terus memberi manfaat kepada anggota.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,

Tuan Hj Azhar Bin Mustapha (D.P.T)
Darjah Pekerti Terpilih, Negeri Sembilan
Pengerusi, Koperasi Telekom Malaysia Berhad
01
Transformasi Digital

Melaksanakan transformasi digital dan pendigitalan sistem koperasi secara menyeluruh bagi memodenkan operasi dan meningkatkan perkhidmatan kepada ahli.

02
Kestabilan Kewangan

Memastikan kestabilan koperasi secara menyeluruh bagi menjamin kemampanan dan daya tahan jangka panjang.

03
Pertumbuhan Pendapatan

Meningkatkan pendapatan koperasi melalui perancangan strategik dan penerokaan peluang baharu bagi memberikan pulangan berterusan kepada ahli.